Monday, May 25, 2009

Pagi. Pagi itu tidak seperti pagi-pagi yang lain. Hujan yang agak lebat semalam telah melembapkan setiap inci rongga tanah. Setiap hentakan kaki diserap bagai berjalan di atas hamparan permaidani baldu. Rerumput dan lelalang di tepian denai kelihatan masih basah. Masing-masing seolah-olah tunduk ke tanah persis gadis desa diusik sang teruna , mungkin terasa malas untuk bingkas bangun menyambut sinar mentari pagi. Kicauan beburung semakin segar menyentuh ruang dengar. Bagai irama instrumental yang kekadang bisa mengetuk pintu hati, merungkai kembali segala sisa nostalgik yang meruntun jiwa.

Cahaya mentari seperti biasa menembusi setiap ruang daun dan dahan. Galur-galur cahaya terserak bagai kristal, menjernihkan setiap pandangan mata, memantapkan seluruh rasa damba cinta akan alam ciptaan Ilahi ini. Sesungguhnya, inilah aura alam yang sering menyentuh dan merenggut seluruh kalbu Azam. Dia bagaikan ingin bersatu menjadi sebahagian daripada keindahan landskap atau sekurang-kurangnya menjadi sebahagian daripada elemen alam seperti teguhnya pertalian antara batu sungai dengan arus jeram yang mengalir deras pada dada tebing curam itu. Tiba-tiba kekusyukan Azam disentap dengan suatu laungan…

“Ooi…Zam , berapa lama kaunak bertapa kat situ? Jomlah kita gerak, nanti matahari dah tinggi pulak, panas tau!” Zul kawannya mencelah dan memecahkan sebentar khayalan Azam.

Dia tidak memberi tindak balas sesegera yang dipinta. Mata Azam terus tertumpu pada lenggokan anak-anak ikan jelawat yang sedang berenang-renang bebas di celah batu-batu sungai. Satu, dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh. Tujuh ekor semuanya.

“Pushhh….!” Seketul batu yang agak sederhana tiba-tiba muncul menerjah permukaan air sungai. Ketujuh-tujuh anak ikan jelawat itu, tiba-tiba lenyap sekilas mata, entah ke mana.

“Ooi…bro. Jomlah. Janganlah sentimental sangat.” Zul semakin hilang sabar. Namun, hampir dua tahun mengenali Azam membuatkan Zul semakin masak akan perangainya. Mereka berdua mempunyai minat yang sama. Redah hutan. Kerana ketagihan inilah, menjadikan mereka semakin akrab. Semakin mengenali. Semakin menghargai antara satu sama lain. Dan. Kaki Gunung Nuang menjadi lokasi untuk melepaskan segala ketagihan yang kekadang mengasak jiwa. Apatah lagi, tiga bulan nanti mereka akan menyertai ekspedisi Kelab Orang Gunung UPM, untuk menawan Gunung Ledang. Gunung yang penuh dengan legenda itu.

“Okaylah…jom,” jawab ringkas, Azam. Dia perlahan-lahan menghulurkan tangannya, mencecah permukaan air yang dingin itu. Dia mencakupkan kedua-dua tangan lantas menatang cakupan air itu dengan penuh cermat. Diteguknya air dingin itu dengan penuh nikmat. Baki air yang selebihnya, disapukan rata-rata pada seluruh wajah. Kesegaran mula menyelinap pada setiap urat dan nadi. Dia kembali bertenaga.

“Zul, kita baliklah. Petang nanti aku ingat nak pergi library. Nak cari bahan sikit. Tesis aku tu, tak gerak-gerak pun. Asyik kat bab satu je,” keluh Azam.

Mereke berdua terus menuruni denai yang separuh curam itu untuk menuju ke lorong balak. Mereka berdua cukup mengenali lorong itu. Atau, lorong itu pun sudah cukup kenal dengan mereka berdua. Kaki gunung ini memang menjadi tempat’favourite’ untuk para pencinta gunung sama ada untuk berlatih atau hanya untuk melepaskan ‘gian’ sementara merancang untuk mengadakan ekspedisi mencabar seterusnya....

Sesungguhnya, Zul mengenali Azam juga kerana gunung. Azam merupakan Pengerusi Kelab Orang Gunung UPM, manakala Zul menjadi Bendaharinya. Mereka berbeza jika dilihat dari satu sudut, iaitu Zul ‘orang sains’ manakala Azam ‘orang sastera’. Zul mengambil jurusan kejuruteraan mekanikal. Azam pula mendalami jurusan sastera. Kalau mengikut kata orang, susah untuk bersatu antara kedua-dua bidang itu, tetapi berlainan dengan mereka berdua. Bukan itu sahaja, Zul ialah anak orang berada. Bapanya ialah seorang kontraktor yang berjaya di pantai timur. Manakala Azam, datang dari sebuah keluarga yang berantakan. Azam hanya ada ibu dan seorang adik. Bapanya meninggalkan mereka sejak Azam berumur lima tahun.

Namun, gunung menjadi pengikat persahabatan mereka. Kecintaan pada alam merupakan titik persamaan antara ribuan titik perbezaan yang mewarnai kehidupan mereka berdua. Keindahan pohon-pohon rimbun yang menghijau, menyebabkan mereka mengetepikan soal-soal logik atau estetik. Mengetepikan soal-soal pangkat dan darjat. Segala-galanyanya dipinggirkan. Mereka lebih senang menghabiskan masa-masa di kampus dengan mengisinya dengan kenangan manis serta mencipta seberapa banyak rekod pendakian. Tidak seperti rakan-rakan sekuliah yang sibuk menghitung jumlah teman wanita yang ‘dimiliki’, mereka berdua sibuk menghitung gunung-gunung yang sudah dan bakal ditakluki...