Sunday, August 9, 2009

Lirik Lagu Puisi - Satu Nafas Satu Bicara

Satu Nafas Satu Bicara


Bonda(tanah air),

Sudah lima dasawarsa
Kita hirup nikmat merdeka
Dalam tangis ada duka
Dalam duka ada tawa

Biar jasad berbeza warna
Walau tutur lain bicara
Namun hati berdegup cinta
Pada bonda kami setia

Bersatulah …wahai jiwa
Berpadulah…wahai raga
Hidup ini tiada bermakna
Jika hati penuh pawana

Bersatulah…wahai jiwa
Bersatulah…wahai raga
dalam dakapan bonda membara
satu nafas satu bicara

Sudah lima dasawarsa
Kita susuri onak dan duri
Biar ombak datang menerpa
Namun cinta tetap abadi

Pada bonda kami berjanji
Terpateri cinta kami nan suci
Pada bonda kami berbakti
Selagi berdenyut nadi ini


***Lagu puisi ini(irama ala-ala keroncong) telah memperoleh tempat kedua@ketiga (tak Pasti) dlm pertandingan Lagu-lagu puisi peringkat daerah Petaling Perdana 2009 - komen juri hakim; lagu puisi tidak boleh dikeroncongkan!!!! tak puas hati sebab banyak lagu puisi oleh M.Nasir/Zubir Ali/Kopratasa yg bernada keroncong !!!
***Yang penting lagu ni best; tak percaya boleh dengar dalam youtube !!!
Wanita Itu

Hari ini
seorang lagi
pendidik bangsa
telah tiba ke jeti asuhan
lantas
menurunkan layar didiknya
membenamkan sauh ilmunya
menyorong perlahan-lahan
perahu ilmiah
lewat...pada hujung kuala usia

Semalam
bukan mudah, bagimu
untuk meredah laut asuhan
kerana ombak generasi muda
kekadang datang menggunung
menggulung dan menghempas
segala cita dan rencana
menghanyutkan anak didikmu
sesekali, angin resah
datang menampar ketabahan hati
menggoyahkan teguh pohon iltizam
namun, kami cukup mengerti
kau bukan seorang pendidik bacul
tangismu...bukan bererti tewas
senyummu...bukan mengundang puas

Kelmarin,
bukan mudah, bagimu
mengasuh manusia menjadi manusia
mengajar si dewasa menjadi dewasa
membimbing guru menjadi pendidik
mengubah sekolah menjadi rumah

Esok,
kami pasti hidupmu
penuh rahmat Tuhan
kerana
mereka pernah berkata
“Wanita itu Pendidik Bangsa”

-ahmad kamal idris (aki)-
14/02/2005

FRASA MENARIK

FRASA-FRASA MENARIK
-fenomena yang berlaku ini akan melambatkan momentum pembangunan negara…

-pelaksanaan mekanisme tersebut adalah untuk kemaslahatan masyarakat serta manusia sejagat…

-..negara kita Malaysia sedang menghadapi lambakan budaya asing yang kadangkala mencalar dan menggugat imej negara di persada dunia

-Gejala hedonisme semakin menerobos masuk ke dalam jiwa anak-anak muda yang merupakan aset negara yang sangat berharga.

-Senario tersebut sudah tentu akan bertentangan dengan arus perdana negara iaitu hasrat untuk melahirkan modal insan bagi memmacu sektor iktisad negara.

-..penerapan nilai-nilai keagamaan ke dalam jiwa anak-anak akan menyemarakkan sifat-sifat mahmudah bagi melahirkan sebuah masyarakat madani…

-terdapat sesetengah pihak yang memanipulasikan peluang-peluang ekonomi secara hikmah ….

-..sikap materialistik atau kebendaan sesetengah ibu bapa dapat menyebabkan anak-anak ketandusan curahan kasih sayang

-amalan membaca dalam kalangan rakyat dapat meningkat kadar literasi di negara kita…

-..ibu bapa tidak harus mengutamakan pengisian kehendak lahiriah anak-anak sahaja,
tetapi harus juga mementingkan pengisian elemen batiniah..

-..kewujudan alam yang lestari memang menjadi aspirasi kerajaan dalam merancangkan plot pembangunan negara

-hasrat menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa lingua franca memang menjadi aspirasi para cendekiawan bahasa

-pelaksanaan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dapat menyemarakkan semangat muhibah dan mahabbah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum

-kewujudan sebuah masyarakat madani bukanlah sesuatu yang mitos, tetapi merupakan suatu realiti jika memperoleh kerjasama serta iltizam daripada semua pihak.

-program-program yang dirancang oleh kerajaan haruslah menerapkan modul bina insan supaya individu kamil dapat direalisasikan ...

-setiap ahli masyarakat harus banyak bermuhasabah untuk mengenal pasti kelemahan dan kealpaan untuk membanteras gejala ...

Isu Pekerja Asing

Isu Kedatangan Pekerja Asing – Kesan Positif dan Kesan Negatifnya

Pendahuluan
-peribhs ada padi masak, adalah pipitnya dan di situ ada gula, di situlah semutnya-sesuai menggmbrkn fenomena kedtgn pendtg asing. – keadaan Malaysia yg makmur dan sejahtera menjadi pemangkin/ faktor penarik kpd pekerja asing – Malaysia dianggap sebagai ‘lubuk rezeki’
-walaupun terdpt kesan negatif namun terdpt juga kesan positifnya

Isi-isi
Kesan Positif

i) mengatasi masalah kekurangan pekerja – terutama dlm sektor perladangan, pembinaan, dan perindustrian- pekerja tempatan kurang berminat dlm sektor ini kerana kurang popular- ada yg memandang rendah – namun pekerja asing tidak memilih pekerjaan – suasana kesempitan yg dialami mereka di negara asal menjadi mereka berjiwa kental dan tahan lasak

ii) mempercepat/memacu pembangunan negara ke arah kewujudan sebuah negara maju – selaras dgn wawasan 2020
-purata indeks pertumbuhan negara mencatatkan pertumbuhan yg memberangsangkan- jadi memerlukn tenaga buruh utk membangunkan infrastruktur/prasarana negara

iii) menggalakkan pelaburan asing – kebanjiran pekerja asing ke neg kita dgn kadar upah yg murah/rendah menyebabkan pelabur asing tertarik utk membuat pelaburan di negara kita- hal ini dpt dilihat terutamanya dlm sektor perkilangan dan perladangan

iv) mempererat hubungan diplomatik – misalnya hubungan negara kita dengan Indonesia dan Filipina – boleh menyebabkan negara asing terhutang budi dgn Malaysia kerana membantu negara-negara tersebut mengurangkan masalah pengangguran di negara masing-masing

Kesan negatif

i) menjejaskan periuk nasi rakyat tempatan – lantas meningkatkan kadar pengangguran di negara kita – akibat sikap terlalu memilih kerja – upah yg murah menyebabkan pekerja tempatan menerima tempiasnya – sedangkan pekerja tempatan terpaksa menampung pelbagai kos sara hidup yg semakin membebankan

ii) meningkatkan kes jenayah spt merompak, membunuh, pelacuran dsbg. Menjejaskan imej negara di persada dunia

iii) tahap kesihatan terjejas – kemasukan pekerja asing tanpa kawalan menyebabkan merebaknya penyakit berjangkit spt demam Kala Azar atau demam hitam yg dipercayai dibawa oleh pekerja asing dr India/Bangladesh

iv) masalah setinggan - memburukkan imej negara dlm klgn pelancong asing – memburukkan sistem perparitan justeru meningkatkan kadar pencemaran.

Kesalahan Umum Tatabahasa

Kesalahan Umum Tatabahasa

1. Dari segi= (Betul); Dari segi disiplin,….
Daripada segi = (salah); Daripada segi ….

2. ialah + FN =Dia ialah abang saya.
Adalah + FS/FA =Adalah untuk…/….adalah benar

3. ia, nya/ ianya =(salah); tidak wujud dalam BM
ia =-diguna pakai untuk manusia sahaja

5. Kata kerja aktif = Ali terpijak paku.
Kata kerja pasif = Paku terpijak oleh Ali.
Ayat pasif= Nasi dimakan oleh adik. (Betul)
Nasi dimakan adik. (Betul)
Tembok itu terlanggar oleh lori. (Betul)
Tembok itu terlanggar lori. (Salah)

6. Anak-anak Mak Limah cantik-cantik belaka. (Salah)
-Dua kata ganda dalam satu ayat = kelewahan/pembaziran
Anak-anak Mak Limah cantik belaka. (Betul)
Anak Mak Limah cantik-cantik belaka. (Betul)
Pengecualian: bagi kata ganda yg tidak membawa maksud jamak/banyak
Cth: Kanak-kanak di tadika itu comel-comel belaka. (Betul)
Sbb: Kanak-kanak = tidak membawa maksud banyak/jamak
Lain-lain: - rama-rama, kupu-kupu, anai-anai,agar-agar.

7. Para hadirin sekalian (Salah)
Para hadirin yang dihormati (Betul)
Hadirin sekalian (Betul)

8. di antara (kedudukan): Cth; …terletak di antara Bario dengan Ba’kelalan.
antara (perbandingan) Cth; Antara saya dengan Ali, siapa pilihan kamu?

9. Kebelakangan ini (Betul)
Belakangan ini (Betul)
Sejak kebelakangan ini (Salah)

10. di dalam (konkrit/yang mempunyai ruang): Cth; …di dalam dewan
dalam (abstrak) Cth; …dalam bidang; …dalam hal ini.. .

11. memper + (kata adjektif) = tidak memerlukan imbuhan ‘kan’.
Cth; mempercantik, memperindah,memperlebar, memperluas

12. memperolehi (Salah)
memperoleh (Betul)

13. Justeru (Betul)
Justeru itu (Salah)

14. Selain daripada itu (Salah)
Selain itu (Betul)

15. Oleh kerana (Salah)
Oleh sebab (Betul)

16. Saya cintakan negara. (Salah)
Saya cinta akan negara. (Betul)
Benci akan; sayang akan; berahi akan (B)

17. Me—I = diikuti penyambut
Me—kan = diikuti objek
Cth; -Ibu menghidangi tetamu itu sepinggan kuih.
-Ibu menghidangkan sepinggan kuih kepada tetamu itu.

18. Kata singkatan-kau, ku = tidak boleh berdiri sendiri
Cth; Kaupergi; rumahku, kausayangi

19. Berbagai perkara (Salah)
Pelbagai perkara (Betul)
Berbagai-bagai perkara (Betul)

20. …membincangkan tentang hal… (Salah)
…membincangkan hal (Betul)
…berbincang tentang hal… (Betul)

21. Para murid-murid..(Salah)
Pelbagai barangan(Salah) Para murid(Betul)
Pelbagai barang…(Betul)

22. Ahmad dihadiahkan sebuah buku.(Salah)
Ahmad dihadiahi sebuah buku.(Betul)
Sebuah buku dihadiahkan kepada Ahmad. (Betul)

23. Limah mengasihi kedua anaknya . (salah)
Limah mengasihi kedua-dua orang anaknya. ((Betul)

24. Bersama ini saya lampirkan borang itu. (Salah)
Bersama-sama ini saya lampirkan borang itu. (Betul)

25. Dia datang bila dipanggil. (Salah)
Dia datang apabila dipanggil. (Betul)

26. Setengah orang ….. (Salah)
Sesetengah orang… (Betul)
Setengah-setengah orang (Betul)

27. Tiap orang akan diberikan wang. (Salah)
Tiap-tiap/Setiap orang akan diberikan wang. (Betul)

Thursday, July 23, 2009

Cuba Fikir - Apa Maksudnya?

DI BALIK CERMIN MIMPI
AKU MELIHAT ENGKAU
DI DALAM ENGKAU
AKU MELIHAT AKU
TERNYATA KITA ADALAH SAMA???

SIAPA AKU?
SIAPA ENGKAU?
MENGAPA SAMA?

FIKIR-FIKIRLAH.

Cuba jawab - "kalau berani"

Celik Tatabahasa (Tuliskan ‘B’ untuk ayat yang betul; dan ‘S’ untuk ayat yang salah)

1. Buku itu telah saya perolehi daripada pelajar itu. _

2. Belakangan ini, disiplin pelajar semakin merosot dari hari ke hari. __

3. Sejak kebelakangan ini, masalah pencemaran sungai semakin menjadi. ___

4. Kemalangan jalan raya adalah disebabkan kecuaian para pemandu. ____

5. Walaupun tewas, namun ianya akan dijadikan teladan oleh pemain-pemain negara. ____

6. Wabak selsema babi telah menggemparkan negara-negara di dunia. ____

7. Kebanyakkan murid sekolah kini kurang mementingkan nilai-nilai ketimuran. ____

8. Pada masa ini, harga minyak semakin stabil. __

9. Oleh sebab sikap setengah-setengah ibu bapa yang materialistik, anak-anak semakin kurang ajar. ____

10. Sejak daripada peristiwa itu, Zulkifli berazam untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. ____

Salam dari IAB (ii)

Hampir 3 minggu berada di sini. Agak sukar untuk mengundurkan masa. Maksud saya kerana terpaksa menjadi pelajar kembali. Apatah lagi jadual di sini agak padat. Masa begitu pantas berlalu. Pantas dan sering memintas kita. Namun, bak kata Pak Jebat, alang-alang mandi biar basah. Kata-kata ini membakar semangat saya untuk berhadapan dengan segala rintangan yang dihadapi. Antara rintangan kental ialah 114 anak tangga yang hampir 80 darjah kecuramannya. Malah pihak IAB sendiri telah memacak papan tanda amaran khususnya bagi peserta yang mengalami masalah kesihatan. Anak-anak tangga itulah yang terpaksa dinaiki dan dituruni, kadang-kadang 2-3 kali sehari. Saya cuba menerimanya sebagai suatu latihan stamina. (sebab ada hasrat untuk mendaki gunung, jika berkelapangan)
Namun, terdapat sesuatu yang mahal dan tidak ternilai yang ditawarkan oleh IAB iaitu panorama bukit-bukaunya. Menariknya, jendela bilik saya betul-betul menghadap panorama kehijauan itu. Hilang segala masalah, apabila menatap wajah-wajah alam yang sentiasa setia, sentiasa lestari dan jujur. (Tidak seperti manusia yang sering hipokrit; termasuklah aku!!!)
Okay...jumpa lagi.

Sajak - Zurinah Hassan

Masihkah Kau Bermain Seruling ~ Zurinah Hassan

Masihkah kau bermain seruling
walau waktu telah terlewat untuk kita bercinta
aku semakin terasa bersalah
melayani godaan irama
lagu yang tersimpan pada lorong halus buluh
dikeluarkan oleh nafas seniman
diukir oleh bibir
diatur oleh jari
dilayangkan oleh alun angin
menolak ke dasar rasa.

Masihkah kau bermain seruling
ketika kampung semakin sunyi
sawah telah uzur
waktu jadi terlalu mahal
untuk memerhatikan hujan turun
merenung jalur senja
mengutip manik embun
menghidu harum bunga.

Masihkah kau bermain seruling
ketika aku terasa mata bersalah
untuk melayani rasa rindu padamu
di kota yang semakin kusut dan tenat
adik-adikku menganggur dan sakit jiwa
bangsaku dipecahkan oleh politik
saudara diserang bom-bom ganas
dunia sudah terlalu tua dan parah.
Di sinilah berakhirnya percintaan kita
kerana zaman sedang menuntut para seniman
hidup di luar dirinya.
~ Zurinah Hassan

Sunday, July 5, 2009

KATA MAJMUK

• Kata majmuk berpunca daripada proses pemajmukan – yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih – yang membawa makna tertentu
• Secara dasarnya, kata majmuk dieja terpisah, namun pengecualian untuk sebilangan kecil kata majmuk yang dianggap sudah mantap sebagai satu perkataan.
• Kata majmuk – rangkaian kata bebas spt koridor raya,tengah hari, Raja Muda dsb.
• Kata majmuk – istilah khusus spt mata pelajaran, pita rakaman, atur cara, segi tiga, kertas kerja, lut sinar, urus setia dsb.
• Kata majmuk – maksud kiasan spt kaki botol, bulan madu, anak emas dsb.
• Sebilangan kecil bentuk kata majmuk ini dieja secara bercantum:(15 perkataan)-
antarabangsa,beritahu,bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, olahraga, matahari, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, warganegara dan pesuruhjaya.
• Kata nama : aiskrim, cenderahati, cenderamata,cenderawasih, dinihari, haribulan, peribadi, perikemanusiaan, peribahasa, perilaku, peribudi, peribumi, perihal
• Kata adjektif : sukacita, dukacita
• Kata sendinama : kepada, daripada
• Kata hubung : apabila, apakala, barangkali, darihal, manakala, padahal, kadangkala, walhal
• Kata tanya : bagaimana

Saturday, July 4, 2009

Komsas - Sajak

Gaya Bahasa {Sajak dan Prosa}


1. Personafikasi – memberi sifat orang kepada sesuatu benda/perkara
Contoh: *kebosanan menggigit pangkal rasa
*kejujuran mati di hati
*ombak senja yang menjerit

2. Simile - perbandingan menggunakan perkataan seperti, bak, umpama
laksana, seolah dan yang semakna dengannya.
Contoh: *seperti banjir kilat
*bagai buih kecil
*seperti kolek terdampar di pasir

3. Metafora - perbandingan langsung iaitu gabungan [konkrit + abstrak]
Contoh: (konkrit + abstrak)
*sungai duka
*rimba kegelapan
*gelanggang kebuasan

4. Anafora - pengulangan di hadapan baris sajak
Contoh: *dari gelisah ke payah
dari sedih ke perih

5. Responsi - pengulangan di tengah-tengah baris sajak
Contoh: *dari gelisah ke payah
dari sedih ke perih

6. Epifora - pengulangan di akhir baris sajak
Contoh: *segala setia kutumpahkan pada mu, pertiwiku
Sekurun rindu kupendamkan padamu, pertiwiku

7. Hiperbola - suatu perbandingan yg melampau
Contoh: *Kemanusiaan semakin mandul.

8. Sinkof - penggunaan kata singkatan
Contoh: *tak siapa mau beralah

9. Unsur Bunyi -(i) Asonansi – pengulangan bunyi vokal (a,e,i,o,u)
Cth : jalan-jalan raya kotaku (Pengulangan huruf –‘a’)

-(ii) Aliterasi – pengulangan bunyi konsonan
Cth: Saat ini siapa lagi sanggup bersemboyan (huruf-‘s’)

Komsas - Novel (II)

6. Plot Penceritaan – 5 P (Pengenalan/Eksposisi, Perkembangan, Perumitan/Konflik,
Puncak/Klimaks dan Peleraian)
-semasa menjawab plot, pembahagian isi adalah mengikut 5P tersebut
-jika pelajar hanya menjawab ringkasan cerita sahaja maka jawapan tersebut dianggap terpesong
-Contoh: Pada bahagian pengenalan novel K.T. pengarang telah memperkenalkan watak Hayati yang sedang belajar muzik ……..
Manakala, pada bahagian perkembangan pula, pengarang mula menggambarkan bagaimana Hilmi mula bekerja sebagai tukan kebun di rumah……….
7. Teknik Plot – bagaimana cara yang digunakan oleh pengarang untuk menyampaikan ceritanya
-Jenis-jenis teknik plot ialah dialog, monolog, pemerian, imbas kembali, imbas muka.
-Contoh : Dalam novel KT, pengarang berjaya mengetengahkan banyak teknik plot. Antara teknik plot yang paling ketara ialah dialog. Teknik dialog banyak digunakan oleh pengarang iaitu hampir dalam kesemua bab. Antara contohnya adalah dialog antara Hilmi dengan Dr. Nathan tentang pokok bunga dan ……
-Teknik Saspen/Ketergantungan : teknik yg menyebabkan pembaca tertanya-tanya akan kesudahan sesuatu peristiwa itu.
-Teknik Kejutan : sesuatu peristiwa yg digunakan oleg penulis yg bertentangan dengan andaian/ramalan pembaca
8. Gaya Bahasa – merupakan stail penulisan pengarang seperti pemilihan diksi,
penggunaan bahasa asing,penggunaan dialek, penggunaan peribahasa personafikasi, metafora, simile, imejan dsb.
9. Latar – djbahagikan kepada tiga aspek iaitu latar masa, latar tempat dan latar masyarakat
-latar masa: bila berlaku?
-latar tempat : di mana berlaku?
-latar masyarakat : masyarakat yang bagaimana terdapat dalam karya tersebut.(Latar masyarakat boleh diambil dan diolah daripada aspek persoalan dan tema)
Cth: Masyarakat kota yang memandang hina masyarakat desa, misalnya Datin Salmah, Datin Siti Hajar dan rakan-rakan yg ....
10. Nilai Murni - nilai positif yang terkandung dalam karya seperti nilai keberanian, kegigihan, taat akan agama, kejujuran dsb.
-contoh: Antara nilai murni yang terdapat dalam novel BK ialah nilai keberanian. Nilai ini dapat kita lihat melalui watak Othman yang berani mempertahan tanah airnya daripada diganggu oleh musuh iaitu semasa bertugas sebagai anggota polis di Pagoh dan Bukit Kepong. (Nilai murni boleh diambil dan diolah drpd aspek perwatakan)
11. Pengajaran -diambil dan diolah drpd nilai-nilai murni tetapi disisipkan dengan ayat yang berbentuk cadangan spt
-Kita haruslah……….,
-Sebagai ahli masyarakat kita mestilah…………
-Kita janganlah…………..

Komsas - Novel (I)

1) Tema – tema merupakan idea/persoalan utama yg terdapat dalam sesebuah hasil

karya;

-hanya terdapat SATU tema sahaja;

-contoh cara menjawab tema : Tema novel Bukit Kepong(BK) memaparkan/menonjolkan/mengetengahkan……………….@ Novel Bukit Kepong bertemakan ……….

-Novel Bukit Kepong bertemakan perjuangan serta cabaran yang dihadapi oleh anggota keselamatan negara dalam mempertahankan negara menghadapi ancaman musuh (fakta). Hal ini dapat kita lihat melalui watak Othman dan rakan-rakannya yang sanggup berjuang bermati-matian untuk mempertahankan tanah air yang tercinta daripada ancaman komunis.(Contoh).

-Tema novel BK mengisahkan perjuangan Othman dan rakan-rakannya yang sanggup ……….(Salah)

2) Persoalan – persoalan merupakan idea-idea @ persoalan sampingan @ isu yg terdapat dalam karya sastera.

-terdapat BANYAK persoalan dalam karya sastera

-cara menjawab adalah sama dgn cara menjawab tema

-jumlah persoalan yg diberi hendaklah menurut jumlah markah yg diperuntukkan bagi soalan tersebut.

3) Watak dan Perwatakan

-watak merupakan pelaku yg terlibat dlm sesebuah karya

-watak, lebih menjurus kpd aspek-aspek fizikal seseorg watak

-con: Hilmi – tinggi 5 kaki 5 inci

-berambut ikal

-bermata galak

-berpendidikan sehingga darjah empat

-manakala, perwatakan merujuk sifat-sifat/sahsiah seseorg watak

-con: Hilmi -seorg yg bertanggung jawab dlm menjalankan tugas

-bersifat rajin

-gigih berusaha

-memiliki bakat dlm bidang muzik

-menghormati org lain dsb.

-semasa menjawab soalan mesti disertai dgn contoh yg sesuai

-jenis watak: -watak utama [seorang watak shj]

-watak sampingan [peranan yg kurang penting]

-watak dinamik [yg mengalami perubahan perwatakan]

-watak statik [perwatakan yg tidak berubah]

-watak protagonis [watak-watak baik]

-watak antagonis [watak-watak jahat]

Sajak Buat Warga SMK S9

Menjadi Ternama dan Dikagumi
(Untuk seluruh warga SMK Seksyen 9 Shah Alam)

Satu per satu
kita susun batu adicita ini
yang kita kutip tertib
dari luar kotak fikir
yang bercampur baur
antara realiti dengan mimpi
yang berselirat
dengan impian dan harapan
yang utuh dan pejal
dengan halangan dan kekangan

Satu per satu
kita atur langkah ini
bagi menterjemahkan visi menjadi realiti
walaupun...
kekadang angin-angin ragu
cuba menggoyah tembok keyakinan
walaupun...
sesekali ombak-ombak sinis
menghempas pepasir hati yang suci

kerana
kita yakin dan tersangat yakin
di sini ada jiwa-jiwa mulus
yang sanggup
menongkah arus kebiasaan
menjadi manusia yang cuba memanusiakan manusia

di sini, juga
ada bara-bara api
yang setia membara
mendidik anak-anak bangsa yang biasa
menjadi luar biasa

di sini pasti
ada jalur-jalur cahaya
yang sentiasa terang dan menerangi
kekaburan hati anak-anak warga

"menjadi ternama dan dikagumi"
akan kita dukung bersama
dengan tangan-tangan erat dan setiakawan
biar jatuhrebah sama-sama dipapah
biar rataptangis sama-sama menitis
biar senyumtawa sama-sama dirasa
agar suatu hari nanti
kita sama-sama berdiri di puncak jaya
melihat dunia dengan penuh rasa bangga...

-kamal idris-
25 Jun 2009

Salam dari IAB

Sudah ditakdirkan, akhirnya saya menjejakkan kaki ke IAB, Genting dan terpaksa meninggalkan SMK Seksyen 9, tetapi buat sementara sahaja kerana selepas 6 bulan saya harus kembali ke sana untuk melaksanakan program sandaran selama 6 bulan. Selepas itu...sekali lagi takdir akan menentukan segala-galanya. Bunyinya klise..tapi itulah hakikatnya, teringat kata-kata guru Ekonomi saya semasa dulu-dulu iaitu tentang 'kos melepas'- nak dapat sesuatu harus korbankan sesuatu.
Memang berat rasanya meninggalkan anak-anak murid terutamanya 5STE dan 5IK4, yang akan ber'perang' dengan SPM hujung tahun ini. Bersalah rasanya!! Tapi...keputusan harus dibuat. Terpaksa ikut 'gerak rasa' dan 'gerak hati', bak kata prinsip hidup saya "hidup mesti nekad bukan 'naked'. namun, di penjuru hati saya akan tetap mendoakan kejayaan mereka (5STE&5IK4), termasuk semua calon SPM 2009.
Melalui blog ini, saya cuba untuk menyelitkan tip-tip atau teknik untuk menjawab kertas BM 1&2. Bukan nak janji manis di mulut sahaja...tapi InsyaAllah saya cuba curi-curi masa di IAB ni. Buat pelajar2 5STE & 5IK4, teruskan perjuangan. Cikgu yang mengajar tu tak penting, yang penting diri awak tu. Bak kata pepatah saya "Bukan saya yang nak ambil SPM, korang...so koranglah yang kena belajar lebih!!!
Apa-apapun, doa akan saya iringkan selalu, bertubi-tubi siang dan malam. Alang-alang mandi biar basah...masa pun tinggal beberapa bulan sahaja.
Amin...yarabbal alamin.

Friday, June 5, 2009

Hari Guru Peringkat Sekolah

Pada 29 Mei 2009, baru-baru ini, majlis sambutan hari guru peringkat SMK Seksyen 9 telah diadakan bertempat di Dewan Sinar. Walaupun agak terlewat namun aura sambutan Hari Guru masih terasa.( aku agaklah). Seperti biasa yang bertungkus-lumus ialah pengawas sekolah termasuklah gurunya - Pn. Azlinda dan juga 'event manager' Seksyen 9 - Pn. Salwani.
Untuk pengetahuan semua, pendekatan sambutan pada tahun ini agak berbeza iaitu memberi peluang kepada guru untuk membuat persembahan di samping pelajar. Maka terserlah bakat para guru SMK Seksyen 9. memang tidak disangka-sangka sama sekali. Tidak terkecuali dengan Puan Pengetua - Pn. Maizan yang mempamerkan 'kelincahannya' menari "Ponco-ponco" bersama dengan guru-guru lain.(yang aku ingat - Cikgu - Linda, Rokiah Ali, Yati, Norazian dll) .
Apa lagi riuh rendah dibuatnya dewan tu! Gegak gempita macam garuda menyerang negeri.(simile).
-Gambar-gambar akan dimuatturunkan kemudian.....kekangan masa.


Monday, May 25, 2009

Pagi. Pagi itu tidak seperti pagi-pagi yang lain. Hujan yang agak lebat semalam telah melembapkan setiap inci rongga tanah. Setiap hentakan kaki diserap bagai berjalan di atas hamparan permaidani baldu. Rerumput dan lelalang di tepian denai kelihatan masih basah. Masing-masing seolah-olah tunduk ke tanah persis gadis desa diusik sang teruna , mungkin terasa malas untuk bingkas bangun menyambut sinar mentari pagi. Kicauan beburung semakin segar menyentuh ruang dengar. Bagai irama instrumental yang kekadang bisa mengetuk pintu hati, merungkai kembali segala sisa nostalgik yang meruntun jiwa.

Cahaya mentari seperti biasa menembusi setiap ruang daun dan dahan. Galur-galur cahaya terserak bagai kristal, menjernihkan setiap pandangan mata, memantapkan seluruh rasa damba cinta akan alam ciptaan Ilahi ini. Sesungguhnya, inilah aura alam yang sering menyentuh dan merenggut seluruh kalbu Azam. Dia bagaikan ingin bersatu menjadi sebahagian daripada keindahan landskap atau sekurang-kurangnya menjadi sebahagian daripada elemen alam seperti teguhnya pertalian antara batu sungai dengan arus jeram yang mengalir deras pada dada tebing curam itu. Tiba-tiba kekusyukan Azam disentap dengan suatu laungan…

“Ooi…Zam , berapa lama kaunak bertapa kat situ? Jomlah kita gerak, nanti matahari dah tinggi pulak, panas tau!” Zul kawannya mencelah dan memecahkan sebentar khayalan Azam.

Dia tidak memberi tindak balas sesegera yang dipinta. Mata Azam terus tertumpu pada lenggokan anak-anak ikan jelawat yang sedang berenang-renang bebas di celah batu-batu sungai. Satu, dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh. Tujuh ekor semuanya.

“Pushhh….!” Seketul batu yang agak sederhana tiba-tiba muncul menerjah permukaan air sungai. Ketujuh-tujuh anak ikan jelawat itu, tiba-tiba lenyap sekilas mata, entah ke mana.

“Ooi…bro. Jomlah. Janganlah sentimental sangat.” Zul semakin hilang sabar. Namun, hampir dua tahun mengenali Azam membuatkan Zul semakin masak akan perangainya. Mereka berdua mempunyai minat yang sama. Redah hutan. Kerana ketagihan inilah, menjadikan mereka semakin akrab. Semakin mengenali. Semakin menghargai antara satu sama lain. Dan. Kaki Gunung Nuang menjadi lokasi untuk melepaskan segala ketagihan yang kekadang mengasak jiwa. Apatah lagi, tiga bulan nanti mereka akan menyertai ekspedisi Kelab Orang Gunung UPM, untuk menawan Gunung Ledang. Gunung yang penuh dengan legenda itu.

“Okaylah…jom,” jawab ringkas, Azam. Dia perlahan-lahan menghulurkan tangannya, mencecah permukaan air yang dingin itu. Dia mencakupkan kedua-dua tangan lantas menatang cakupan air itu dengan penuh cermat. Diteguknya air dingin itu dengan penuh nikmat. Baki air yang selebihnya, disapukan rata-rata pada seluruh wajah. Kesegaran mula menyelinap pada setiap urat dan nadi. Dia kembali bertenaga.

“Zul, kita baliklah. Petang nanti aku ingat nak pergi library. Nak cari bahan sikit. Tesis aku tu, tak gerak-gerak pun. Asyik kat bab satu je,” keluh Azam.

Mereke berdua terus menuruni denai yang separuh curam itu untuk menuju ke lorong balak. Mereka berdua cukup mengenali lorong itu. Atau, lorong itu pun sudah cukup kenal dengan mereka berdua. Kaki gunung ini memang menjadi tempat’favourite’ untuk para pencinta gunung sama ada untuk berlatih atau hanya untuk melepaskan ‘gian’ sementara merancang untuk mengadakan ekspedisi mencabar seterusnya....

Sesungguhnya, Zul mengenali Azam juga kerana gunung. Azam merupakan Pengerusi Kelab Orang Gunung UPM, manakala Zul menjadi Bendaharinya. Mereka berbeza jika dilihat dari satu sudut, iaitu Zul ‘orang sains’ manakala Azam ‘orang sastera’. Zul mengambil jurusan kejuruteraan mekanikal. Azam pula mendalami jurusan sastera. Kalau mengikut kata orang, susah untuk bersatu antara kedua-dua bidang itu, tetapi berlainan dengan mereka berdua. Bukan itu sahaja, Zul ialah anak orang berada. Bapanya ialah seorang kontraktor yang berjaya di pantai timur. Manakala Azam, datang dari sebuah keluarga yang berantakan. Azam hanya ada ibu dan seorang adik. Bapanya meninggalkan mereka sejak Azam berumur lima tahun.

Namun, gunung menjadi pengikat persahabatan mereka. Kecintaan pada alam merupakan titik persamaan antara ribuan titik perbezaan yang mewarnai kehidupan mereka berdua. Keindahan pohon-pohon rimbun yang menghijau, menyebabkan mereka mengetepikan soal-soal logik atau estetik. Mengetepikan soal-soal pangkat dan darjat. Segala-galanyanya dipinggirkan. Mereka lebih senang menghabiskan masa-masa di kampus dengan mengisinya dengan kenangan manis serta mencipta seberapa banyak rekod pendakian. Tidak seperti rakan-rakan sekuliah yang sibuk menghitung jumlah teman wanita yang ‘dimiliki’, mereka berdua sibuk menghitung gunung-gunung yang sudah dan bakal ditakluki...