Thursday, July 23, 2009

Cuba Fikir - Apa Maksudnya?

DI BALIK CERMIN MIMPI
AKU MELIHAT ENGKAU
DI DALAM ENGKAU
AKU MELIHAT AKU
TERNYATA KITA ADALAH SAMA???

SIAPA AKU?
SIAPA ENGKAU?
MENGAPA SAMA?

FIKIR-FIKIRLAH.

Cuba jawab - "kalau berani"

Celik Tatabahasa (Tuliskan ‘B’ untuk ayat yang betul; dan ‘S’ untuk ayat yang salah)

1. Buku itu telah saya perolehi daripada pelajar itu. _

2. Belakangan ini, disiplin pelajar semakin merosot dari hari ke hari. __

3. Sejak kebelakangan ini, masalah pencemaran sungai semakin menjadi. ___

4. Kemalangan jalan raya adalah disebabkan kecuaian para pemandu. ____

5. Walaupun tewas, namun ianya akan dijadikan teladan oleh pemain-pemain negara. ____

6. Wabak selsema babi telah menggemparkan negara-negara di dunia. ____

7. Kebanyakkan murid sekolah kini kurang mementingkan nilai-nilai ketimuran. ____

8. Pada masa ini, harga minyak semakin stabil. __

9. Oleh sebab sikap setengah-setengah ibu bapa yang materialistik, anak-anak semakin kurang ajar. ____

10. Sejak daripada peristiwa itu, Zulkifli berazam untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. ____

Salam dari IAB (ii)

Hampir 3 minggu berada di sini. Agak sukar untuk mengundurkan masa. Maksud saya kerana terpaksa menjadi pelajar kembali. Apatah lagi jadual di sini agak padat. Masa begitu pantas berlalu. Pantas dan sering memintas kita. Namun, bak kata Pak Jebat, alang-alang mandi biar basah. Kata-kata ini membakar semangat saya untuk berhadapan dengan segala rintangan yang dihadapi. Antara rintangan kental ialah 114 anak tangga yang hampir 80 darjah kecuramannya. Malah pihak IAB sendiri telah memacak papan tanda amaran khususnya bagi peserta yang mengalami masalah kesihatan. Anak-anak tangga itulah yang terpaksa dinaiki dan dituruni, kadang-kadang 2-3 kali sehari. Saya cuba menerimanya sebagai suatu latihan stamina. (sebab ada hasrat untuk mendaki gunung, jika berkelapangan)
Namun, terdapat sesuatu yang mahal dan tidak ternilai yang ditawarkan oleh IAB iaitu panorama bukit-bukaunya. Menariknya, jendela bilik saya betul-betul menghadap panorama kehijauan itu. Hilang segala masalah, apabila menatap wajah-wajah alam yang sentiasa setia, sentiasa lestari dan jujur. (Tidak seperti manusia yang sering hipokrit; termasuklah aku!!!)
Okay...jumpa lagi.

Sajak - Zurinah Hassan

Masihkah Kau Bermain Seruling ~ Zurinah Hassan

Masihkah kau bermain seruling
walau waktu telah terlewat untuk kita bercinta
aku semakin terasa bersalah
melayani godaan irama
lagu yang tersimpan pada lorong halus buluh
dikeluarkan oleh nafas seniman
diukir oleh bibir
diatur oleh jari
dilayangkan oleh alun angin
menolak ke dasar rasa.

Masihkah kau bermain seruling
ketika kampung semakin sunyi
sawah telah uzur
waktu jadi terlalu mahal
untuk memerhatikan hujan turun
merenung jalur senja
mengutip manik embun
menghidu harum bunga.

Masihkah kau bermain seruling
ketika aku terasa mata bersalah
untuk melayani rasa rindu padamu
di kota yang semakin kusut dan tenat
adik-adikku menganggur dan sakit jiwa
bangsaku dipecahkan oleh politik
saudara diserang bom-bom ganas
dunia sudah terlalu tua dan parah.
Di sinilah berakhirnya percintaan kita
kerana zaman sedang menuntut para seniman
hidup di luar dirinya.
~ Zurinah Hassan

Sunday, July 5, 2009

KATA MAJMUK

• Kata majmuk berpunca daripada proses pemajmukan – yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih – yang membawa makna tertentu
• Secara dasarnya, kata majmuk dieja terpisah, namun pengecualian untuk sebilangan kecil kata majmuk yang dianggap sudah mantap sebagai satu perkataan.
• Kata majmuk – rangkaian kata bebas spt koridor raya,tengah hari, Raja Muda dsb.
• Kata majmuk – istilah khusus spt mata pelajaran, pita rakaman, atur cara, segi tiga, kertas kerja, lut sinar, urus setia dsb.
• Kata majmuk – maksud kiasan spt kaki botol, bulan madu, anak emas dsb.
• Sebilangan kecil bentuk kata majmuk ini dieja secara bercantum:(15 perkataan)-
antarabangsa,beritahu,bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, olahraga, matahari, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, warganegara dan pesuruhjaya.
• Kata nama : aiskrim, cenderahati, cenderamata,cenderawasih, dinihari, haribulan, peribadi, perikemanusiaan, peribahasa, perilaku, peribudi, peribumi, perihal
• Kata adjektif : sukacita, dukacita
• Kata sendinama : kepada, daripada
• Kata hubung : apabila, apakala, barangkali, darihal, manakala, padahal, kadangkala, walhal
• Kata tanya : bagaimana

Saturday, July 4, 2009

Komsas - Sajak

Gaya Bahasa {Sajak dan Prosa}


1. Personafikasi – memberi sifat orang kepada sesuatu benda/perkara
Contoh: *kebosanan menggigit pangkal rasa
*kejujuran mati di hati
*ombak senja yang menjerit

2. Simile - perbandingan menggunakan perkataan seperti, bak, umpama
laksana, seolah dan yang semakna dengannya.
Contoh: *seperti banjir kilat
*bagai buih kecil
*seperti kolek terdampar di pasir

3. Metafora - perbandingan langsung iaitu gabungan [konkrit + abstrak]
Contoh: (konkrit + abstrak)
*sungai duka
*rimba kegelapan
*gelanggang kebuasan

4. Anafora - pengulangan di hadapan baris sajak
Contoh: *dari gelisah ke payah
dari sedih ke perih

5. Responsi - pengulangan di tengah-tengah baris sajak
Contoh: *dari gelisah ke payah
dari sedih ke perih

6. Epifora - pengulangan di akhir baris sajak
Contoh: *segala setia kutumpahkan pada mu, pertiwiku
Sekurun rindu kupendamkan padamu, pertiwiku

7. Hiperbola - suatu perbandingan yg melampau
Contoh: *Kemanusiaan semakin mandul.

8. Sinkof - penggunaan kata singkatan
Contoh: *tak siapa mau beralah

9. Unsur Bunyi -(i) Asonansi – pengulangan bunyi vokal (a,e,i,o,u)
Cth : jalan-jalan raya kotaku (Pengulangan huruf –‘a’)

-(ii) Aliterasi – pengulangan bunyi konsonan
Cth: Saat ini siapa lagi sanggup bersemboyan (huruf-‘s’)

Komsas - Novel (II)

6. Plot Penceritaan – 5 P (Pengenalan/Eksposisi, Perkembangan, Perumitan/Konflik,
Puncak/Klimaks dan Peleraian)
-semasa menjawab plot, pembahagian isi adalah mengikut 5P tersebut
-jika pelajar hanya menjawab ringkasan cerita sahaja maka jawapan tersebut dianggap terpesong
-Contoh: Pada bahagian pengenalan novel K.T. pengarang telah memperkenalkan watak Hayati yang sedang belajar muzik ……..
Manakala, pada bahagian perkembangan pula, pengarang mula menggambarkan bagaimana Hilmi mula bekerja sebagai tukan kebun di rumah……….
7. Teknik Plot – bagaimana cara yang digunakan oleh pengarang untuk menyampaikan ceritanya
-Jenis-jenis teknik plot ialah dialog, monolog, pemerian, imbas kembali, imbas muka.
-Contoh : Dalam novel KT, pengarang berjaya mengetengahkan banyak teknik plot. Antara teknik plot yang paling ketara ialah dialog. Teknik dialog banyak digunakan oleh pengarang iaitu hampir dalam kesemua bab. Antara contohnya adalah dialog antara Hilmi dengan Dr. Nathan tentang pokok bunga dan ……
-Teknik Saspen/Ketergantungan : teknik yg menyebabkan pembaca tertanya-tanya akan kesudahan sesuatu peristiwa itu.
-Teknik Kejutan : sesuatu peristiwa yg digunakan oleg penulis yg bertentangan dengan andaian/ramalan pembaca
8. Gaya Bahasa – merupakan stail penulisan pengarang seperti pemilihan diksi,
penggunaan bahasa asing,penggunaan dialek, penggunaan peribahasa personafikasi, metafora, simile, imejan dsb.
9. Latar – djbahagikan kepada tiga aspek iaitu latar masa, latar tempat dan latar masyarakat
-latar masa: bila berlaku?
-latar tempat : di mana berlaku?
-latar masyarakat : masyarakat yang bagaimana terdapat dalam karya tersebut.(Latar masyarakat boleh diambil dan diolah daripada aspek persoalan dan tema)
Cth: Masyarakat kota yang memandang hina masyarakat desa, misalnya Datin Salmah, Datin Siti Hajar dan rakan-rakan yg ....
10. Nilai Murni - nilai positif yang terkandung dalam karya seperti nilai keberanian, kegigihan, taat akan agama, kejujuran dsb.
-contoh: Antara nilai murni yang terdapat dalam novel BK ialah nilai keberanian. Nilai ini dapat kita lihat melalui watak Othman yang berani mempertahan tanah airnya daripada diganggu oleh musuh iaitu semasa bertugas sebagai anggota polis di Pagoh dan Bukit Kepong. (Nilai murni boleh diambil dan diolah drpd aspek perwatakan)
11. Pengajaran -diambil dan diolah drpd nilai-nilai murni tetapi disisipkan dengan ayat yang berbentuk cadangan spt
-Kita haruslah……….,
-Sebagai ahli masyarakat kita mestilah…………
-Kita janganlah…………..

Komsas - Novel (I)

1) Tema – tema merupakan idea/persoalan utama yg terdapat dalam sesebuah hasil

karya;

-hanya terdapat SATU tema sahaja;

-contoh cara menjawab tema : Tema novel Bukit Kepong(BK) memaparkan/menonjolkan/mengetengahkan……………….@ Novel Bukit Kepong bertemakan ……….

-Novel Bukit Kepong bertemakan perjuangan serta cabaran yang dihadapi oleh anggota keselamatan negara dalam mempertahankan negara menghadapi ancaman musuh (fakta). Hal ini dapat kita lihat melalui watak Othman dan rakan-rakannya yang sanggup berjuang bermati-matian untuk mempertahankan tanah air yang tercinta daripada ancaman komunis.(Contoh).

-Tema novel BK mengisahkan perjuangan Othman dan rakan-rakannya yang sanggup ……….(Salah)

2) Persoalan – persoalan merupakan idea-idea @ persoalan sampingan @ isu yg terdapat dalam karya sastera.

-terdapat BANYAK persoalan dalam karya sastera

-cara menjawab adalah sama dgn cara menjawab tema

-jumlah persoalan yg diberi hendaklah menurut jumlah markah yg diperuntukkan bagi soalan tersebut.

3) Watak dan Perwatakan

-watak merupakan pelaku yg terlibat dlm sesebuah karya

-watak, lebih menjurus kpd aspek-aspek fizikal seseorg watak

-con: Hilmi – tinggi 5 kaki 5 inci

-berambut ikal

-bermata galak

-berpendidikan sehingga darjah empat

-manakala, perwatakan merujuk sifat-sifat/sahsiah seseorg watak

-con: Hilmi -seorg yg bertanggung jawab dlm menjalankan tugas

-bersifat rajin

-gigih berusaha

-memiliki bakat dlm bidang muzik

-menghormati org lain dsb.

-semasa menjawab soalan mesti disertai dgn contoh yg sesuai

-jenis watak: -watak utama [seorang watak shj]

-watak sampingan [peranan yg kurang penting]

-watak dinamik [yg mengalami perubahan perwatakan]

-watak statik [perwatakan yg tidak berubah]

-watak protagonis [watak-watak baik]

-watak antagonis [watak-watak jahat]

Sajak Buat Warga SMK S9

Menjadi Ternama dan Dikagumi
(Untuk seluruh warga SMK Seksyen 9 Shah Alam)

Satu per satu
kita susun batu adicita ini
yang kita kutip tertib
dari luar kotak fikir
yang bercampur baur
antara realiti dengan mimpi
yang berselirat
dengan impian dan harapan
yang utuh dan pejal
dengan halangan dan kekangan

Satu per satu
kita atur langkah ini
bagi menterjemahkan visi menjadi realiti
walaupun...
kekadang angin-angin ragu
cuba menggoyah tembok keyakinan
walaupun...
sesekali ombak-ombak sinis
menghempas pepasir hati yang suci

kerana
kita yakin dan tersangat yakin
di sini ada jiwa-jiwa mulus
yang sanggup
menongkah arus kebiasaan
menjadi manusia yang cuba memanusiakan manusia

di sini, juga
ada bara-bara api
yang setia membara
mendidik anak-anak bangsa yang biasa
menjadi luar biasa

di sini pasti
ada jalur-jalur cahaya
yang sentiasa terang dan menerangi
kekaburan hati anak-anak warga

"menjadi ternama dan dikagumi"
akan kita dukung bersama
dengan tangan-tangan erat dan setiakawan
biar jatuhrebah sama-sama dipapah
biar rataptangis sama-sama menitis
biar senyumtawa sama-sama dirasa
agar suatu hari nanti
kita sama-sama berdiri di puncak jaya
melihat dunia dengan penuh rasa bangga...

-kamal idris-
25 Jun 2009

Salam dari IAB

Sudah ditakdirkan, akhirnya saya menjejakkan kaki ke IAB, Genting dan terpaksa meninggalkan SMK Seksyen 9, tetapi buat sementara sahaja kerana selepas 6 bulan saya harus kembali ke sana untuk melaksanakan program sandaran selama 6 bulan. Selepas itu...sekali lagi takdir akan menentukan segala-galanya. Bunyinya klise..tapi itulah hakikatnya, teringat kata-kata guru Ekonomi saya semasa dulu-dulu iaitu tentang 'kos melepas'- nak dapat sesuatu harus korbankan sesuatu.
Memang berat rasanya meninggalkan anak-anak murid terutamanya 5STE dan 5IK4, yang akan ber'perang' dengan SPM hujung tahun ini. Bersalah rasanya!! Tapi...keputusan harus dibuat. Terpaksa ikut 'gerak rasa' dan 'gerak hati', bak kata prinsip hidup saya "hidup mesti nekad bukan 'naked'. namun, di penjuru hati saya akan tetap mendoakan kejayaan mereka (5STE&5IK4), termasuk semua calon SPM 2009.
Melalui blog ini, saya cuba untuk menyelitkan tip-tip atau teknik untuk menjawab kertas BM 1&2. Bukan nak janji manis di mulut sahaja...tapi InsyaAllah saya cuba curi-curi masa di IAB ni. Buat pelajar2 5STE & 5IK4, teruskan perjuangan. Cikgu yang mengajar tu tak penting, yang penting diri awak tu. Bak kata pepatah saya "Bukan saya yang nak ambil SPM, korang...so koranglah yang kena belajar lebih!!!
Apa-apapun, doa akan saya iringkan selalu, bertubi-tubi siang dan malam. Alang-alang mandi biar basah...masa pun tinggal beberapa bulan sahaja.
Amin...yarabbal alamin.